Semasa saya bertemu Pak Lah buat kali pertama, waktu itu Menteri Pelajaran, di sebuah bangunan sekitar Taman Tasik Perdana awal 1986 bersama delegasi Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) membincangkan isu pengharaman purdah di kampus, saya perhatikan beliau kurang sihat. Pil yang ditelannya mungkin lebih mengenyangkan berbanding nasi yang dijamahnya.
Pertemuan itu berjalan mesra. Pak Lah tidak banyak menyanggah hujah kami. Kami sendiri tidak perlu bertegang leher untuk meyakinkannya bahawa arahan melarang pemakaian purdah di UTM perlu ditarik balik. Pak Lah nampak mudah bertolak ansur. Dia banyak mendengar. Akhirnya, sembilan pelajar purdah UTM dipanggil semula belajar tetapi kemudiannya terhalang kerana sebab-sebab lain yang tiada kaitan dengan Pak Lah. Selepas pemilihan Umno, April 1987, Pak Lah ternyata setia menerima hukuman dan deraan Mahathir. Pak Lah tidak bersama teman-temannya dalam Team B dulu. Agak lama, meskipun menang Naib Presiden, Mahathir tidak melantiknya menteri. Namun Pak Lah tetap tabah dan tenang. Anwar sememangnya sentiasa menjadi saingan Pak Lah. Bila Mahathir memilih Anwar, Pak Lah berdamping rapat dengan Musa. Begitupun, bukan seperti Sanusi, Pak Lah tidak menampakkan perseteruannya dengan Anwar secara ketara.
Tuah rupanya menanti Pak Lah. Politik memungkinkan segalanya. Sukar dipastikan mengapa Pak Lah menjadi pilihan Dr. Mahathir selepas Anwar dilucutkan jawatan. Apakah kerana kesetiaan atau beliau dilihat tidak berpotensi untuk mencabar Mahathir? Yang nyata, peluang Pak Lah lebih cerah untuk menjadi pengganti Mahathir.
Mengenali Pak Lah, saya mengharapkan ada reformasi dalaman mencari kejernihan di era baru nanti. Rakyat sudah muak dengan pemerintahan ala diktator dan mengetepikan suara rakyat. Pemimpin harus mudah didekati bukannya dipuja secara paksa. Khazanah negara mesti diagihkan secara adil, bukannya dipusatkan kepada segelintir dua elit tertentu. Keadilan bukannya ehsan pemerintah yang dinikmati bila diizinkan dan ditarik balik bila saat memerlukan.
Konsep mesra-rakyat yang diperkenalkan Pak Lah di KDN disambut baik; sekurang-kurangnya rakyat lupa sejenak dengan misteri lebam mata Anwar dan perlakuan kasar polis menangani kelompok reformis yang lincah menari di jalan-jalan raya. Malang sekali, sistem yang membungkus persekitaran menarik Pak Lah ke jurang yang cukup menggerunkan. Mungkin untuk membuktikan kepada dunia bahawa dia tidak selembik disangka, Pak Lah membuat kejutan, memberikan definisi baru buat keadilan, mencengkam sisa kebebasan.
Mangsa kerakusan Pak Lah yang dekat dengan anda tentulah majalah DETIK yang sudah dimatikan itu. Setelah membusuk lebih 100 hari kerana tidak dapat dipastikan status hidup-matinya, kami terpaksa merayu agar Pak Lah mengharamkan saja DETIK. Jangan dera kami lebih lama lagi. "Dato' Seri orang paling berkuasa sekarang, matikanlah kami, apa yang perlu dibimbangkan lagi," kata saya dalam surat yang dihantar secara tangan kepada Pak Lah.
Mungkin didorong rayuan kami itu Pak Lah bertindak nekad mengharamkan DETIK. Apalah yang kami boleh lakukan untuk menghalang tindakan zalim tidak berperikemanusiaan itu. Kami sekadar dapat merakam amarah gelodak perasaan yang membelit ini. Jeritlah sekuat mana sekalipun tentang matinya kebebasan media di Malaysia, Pak Lah tidak terusik dengannya. Jawatannya sebagai Timbalan Presiden hanya menunggu untuk disahkan pada 11 Mei depan.
Kami sudah siapkan keranda DETIK, tapi di tanah perkuburan mana harus kami kebumikan?
AHMAD LUTFI OTHMAN
Artikel Ini Pernah Di Siarkan Di Dalam Majalah Debat 3 ,disiarkan semula sebagai memperingati "DETIK"
"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"