[ Main Page ]
Detik Rugi 360,000!
Hukum Dulu Bicara Kemudian

Pengarang Detik, Ahmad Lutfi Othman
PERMULAAN Alaf aru mencatat sejarah dan menyaksikan peristiwa perampasan beribu-ribu
naskah akhbar Harakah serta penahanan dan pendakwaan beberapa orang pemimpin parti
pembangkang termasuk pengarang harakah. Selain itu beberapa media yang dikatakan mirip
menyokong parti pembangkang telah diberi surat tujuk sebab kenapa permit penerbitan media
mereka tidak boleh dibatalkan.
Di antara media yang diberi amaran dan menerima surat tunjuk sebab ialah majalah
popular Detik. Permit penerbitan Detik telah tidak disambung semula apabila tempoh
tamatnya luput walaupun permohonan membaharui telah dibuat sebelum itu. Yang peliknya,
kelulusan teiah diperolehi, hanya menunggu nombor KDN saja, tetapi kemudiannya telah
dibatalkan kelulusan itu empat hari selepas diluluskan. Tambah menghairankan selepas
dibatalkan kelulusan itu, KDN baru menghantar surat tunjuk sebab kenapa permit majalah
tersebut tidak boleh dibatalkan. Bagi mengetahui kedudukan sebenar permasalahan majalah
Detik termasuk kerugian yang dialaminya akibat tindakan mendadak KDN, ikutilah wawancara
editor Tamadun dengan bekas Ketua Pengarang majalah tersebut, saudara Ahmad Lutfi Othman:
KHABARNYA permit penerbitan Detik tidak disambung semula oleh KDN, boleh saudara
beritahu urutan peristiwa sehingga permit tersebut dibatalkan?
Ahmad Lutfi: Tempoh tamat permit tersebut luput pada 30 November 99. Dua bulan sebelum
itu kami telah membuat permohonan untuk membaharui. Sehingga 1 Disember 99 kami masih
belum mengetahui kedudukan permohonan kami. Oleh kerana itu majalah Detik keluaran
Disember terpaksa ditangguhkan sehingga kami ketahui kedudukan permohonan tersebut.
Hanya pada 9 Disember kami diberitahu permohonan tersebut telah diluluskan. Saya
sendiri pergi ambil dengan tangan di KDN dan terus membayar bayaran permit tersebut
sebanyak RM 500.00. Tetapi pada hari itu nombor KDN nya tidak diberi. Saya diberitahu
supaya datang semula pada 13 Dis 99 (Isnin) untuk mendapatkan nombor tersebut. Tanpa
nombor ini menjadi kesalahan mencetak majalah tersebut.
Bagi saya mendapatkan nombor ini hanya formality saja kerana yang mustahaknya ianya
telah mendapat kelulusan. Sepanjang pengalaman saya menerajui majalah-majalah Muslimah,
Tamadun dan lain-lain, itulah kaedahnya.
Pada 13 Disember, saya menghubungi KDN untuk mendapatkan nombor tersebut seperti
dijanjikan. Saya diberitahu ada perkembangan terbaharu dan diminta menghubungi terus
Tengku Mahmood bin Tengku Ismail. Saya menghubungi pegawai tersebut dan dimaklumkan
kelulusan permit Detik terpaksa ditarik balik atas arahan 'menteri'. Keputusan ini
mengejutkan saya bagaikan seketul batu besar menimpa kepala. Persiapan majalah tersebut
bagi bulan Disember semua sudah siap hanya menunggu untuk di cetak saja. Tanpa nombor KDN,
adalah menjadi kesalahan mencetak majalah tersebut. Lagipun keluaran bulan tersebut memang
pun sudah lewat.
Adakah KDN mengambil inisiatif menghubungi saudara mengenai kedudukan ini?
Saya yang menghubungi KDN untuk mengetahui kedudukan permit tersebut. Saya juga yang
menghubungi KDN untuk mendapatkan nombor KDN tetapi diberitahu berita yang menyedihkan.
Adakah saudara mengsyaki tindakan ini adalah disebabkan tekanan atau campur tangan
orang-orang politik?
Inilah yang menjadi tandatanya. Kemungkinan itu ada, kerana kebetulan urutan peristiwa
semenjak dari tarikh kelulusannya pada 9 Disember, selepas itu kabinet dibentuk pada 11
Disember diikuti dengan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, dan saya diberitahu kelulusan
permit itu ditarik balik pada 13 Disember, menyakinkan saya bahawa ada pengaruh dan campur
tangan orang-orang politik dalam kes ini. Malah Tengku Mahmood sendiri memberitahu saya
bahawa ini adalah arahan orang atasan.
Yang peliknya, pembatalan itu tidak diberitahu secara hitam putih. Sehingga sekarang
ini tidak ada surat rasmi dari KDN memberitahu berkaitan dengan pembatalan tersebut. Kami
hanya diberitahu secara lisan.
Selepas itu pula kami menerima sepucuk surat dari KDN bertarikh 24 Disember 99 nombor
rujukan KDN: 1505(8757) (26), yang meminta penjelasan mengapa tindakan membatalkan permit
penerbitan majalah berkenaan tidak boleh diambil.
Menurut surat itu ada tiga kesalahan yang dikatakan telah dilakukan oleh Detik yang
bagi saya hanya kesalahan teknikal yang boleh diperbetulkan dengan segera. KDN sedikit pun
tidak menyentuh isi kandungan majalah tersebut seperti surat amarannya sebelum ini.
Kami telah membuat penjelasan seperti diminta pada 28 Disember. Selepas cuti hari raya,
saya telah hubungi KDN untuk mengetahui kedudukan rayuan kami itu dan diberitahu mereka
menunggu arahan selanjutnya dari pihak atasan. Mereka suruh tunggu, tetapi sampai bila?
Nampaknya macam menunggu buah yang tidak jatuh. Masalahnya empat keluaran sudah tertangguh
dan ini menimbulkan kesulitan kepada kami dan juga pembaca-pembaca kami terutama yang
sudah melanggan dan sudah pun membayar langganan mereka.
Apakah akibat tindakan mendadak ini Detik mengalami kerugian?
Oh! Sudah tentu! Sebagai pengusaha bumiputera yang baru mahu berjinak-jinak dan
menceburi industri penerbitan; tindakan ini sangat-sangat mengecewakan. Apatah lagi
pelaburannya amat besar dan modalnya pun kami usaha sendiri tanpa bantuan dari mana-mana
bank mahupun institusi kewangan yang lain seperti MARA.
Sebelum saya menceburi sidang editorial Detik, setelah dipelawa oleh empunya permit
tersebut pada Januari 1999, Detik di bawah pengurusan dan editorial lama, telah pun berada
dalam pasaran sebanyak tujuh keluaran. Tetapi ianya tidak mendapat sambutan pembaca oleh
kerana kelemahan pengurusan dan editorialnya, justeru itu mengalami kerugian besar.
Apabila saya memasuki dalam sidang editorialnya, saya telah memberi nafas baru dengan
memberi wajah dan persembahan terbaru kepada Detik termasuk menyediakan lay-out yang
terkini serta canggih. Bagi tujuan mempromosikan majalah tersebut, kami telah
membelanjakan sebanyak RM 100,000.00 seperti mengiklankan dalam akhbar-akhbar tempatan,
poster-poster, road-show, risalah dan pemberian percuma majalah-majalah tersebut.
Pada bulan Disember lalu saja kami kerugian sejumlah purata RM 360,000.00 akibat
tindakan KDN ini. Kami mencetak 40,000 naskah setiap keluaran, dalam satu bulan ada dua
keluaran, jadi jumlah cetakan kami dalam satu bulan ialah 80,000 naskah.
Jika diambil kira purata majalah tersebut laku 30,000 naskah setiap keluaran maka
anggaran kerugian kami ialah lebih kurang RM 3.00 satu naskah X 60,000 menjadikan jumlah
kerugian RM 180,000 di darab empat keluaran iaitu dua bulan maka kerugian yang kami
tanggung lebih kurang RM 360,000.00.
Ini satu kerugian yang bukan sedikit. Sekiranya perkara seperti ini berterusan, saya
fikir sesiapa pun yang akan menceburi perniagaan ini akan berfikir sepuluh kali sebelum
melabur.
Perniagaan kami mula stabil pada bulan Oktober 99 dan cuba sedaya upaya supaya
kestabilan itu terus di kekalkan berterusan dan menjangkakan tahun 2000 ini akan
memperolehi sedikit keuntungan. Lagi pun kami mempunyai 10 orang kakitangan yang berkongsi
rezeki dengan kami.
Kakitangan kerajaan dan swasta sibuk memperolehi bonus dan kenaikan gaji, tetapi
kakitangan kami hendak beri duit raya pun tak dapat. Bayangkanlah kesulitan yang-kami
hadapi, kesulitan seorang bumiputra yang baru bertatih dalam perniagaan ini.
Apa pandangan saudara terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, adakah Akta ini
mengongkong kerjaya wartawan?
Bagi saya Akta Mesin Cetak kepada wartawan adalah sama dengan Akta ISA bagi orang-orang
politik. Secara peribadi, adalah baik di seret pengarang atau penerbit ke mahkamah
daripada terus menggantung atau membatalkan permit kami tanpa mengetahui kesalahan yang
kami lakukan.
Sekurang-kurangnya di mahkamah kami boleh menjawab dakwaan-dakwaan yang di kemukakan.
Lagi pun kami akan terus boleh beroperasi ketika kes di mahkamah berjalan dan ini tidak
akan merugikan kami. Sekiranya terus di batalkan, kami tidak dapat menerbitkan majalah
tersebut dan akan menanggung kerugian.
Apakah Akta ini mencengkam kebebasan media di negara kita?
Sebelum pilihan raya dulu parti-parti pembangkang telah berkempen dan mengingatkan
pengundi-pengundi betapa bahayanya memberi 2/3 majoriti kepada BN. Mereka mendakwa
sekiranya BN dapat lebih2/3 maka semua tindakan-tindakan BN yang tertangguh sebelum
pilihan raya akan diteruskan. Dengan tindakan-tindakan yang tidak popular ini oleh
kerajaan maka ia semacam membenarkan dakwaan-dakwaan parti pembangkang dulu.
Sebagai seorang wartawan, saya berpendaapat Akta ini mengongkong kebebasan wartawan
daripada mengeluarkan pendapat dan pandangan mereka. Malaysia sekarang sudah terkebelakang
dari aspek kebebasan media jika di bandingkan dengan negara-negara jiran kita seperti
Filipina, Indonesia dan Thailand.
Sebelum ini kebebasan media negara-negara tersebut hampir tidak ada di bandingkan
dengan Malaysia, tetapi sekarang sudah jadi sebaliknya. Sikap kerajaan-kerajaan di
negara-negara tersebut lebih terbuka dan media bebas mengkritik kerajaan tanpa fear or
favour. Dengan adanya berbagai Akta yang mengongkong kebebasan media, kita seolah-olah
masih berada dalam keadaan jahilliah lagi.
Bagaimana saudara melihat TPM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri
Dalam Negeri, adakah anda melihat tindakannya ini terlalu keras?
Saya kenal dengan Dato Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi pemimpin pelajar apabila
menjawat jawatan Setiausaha Agong Persatuan Mahasisiwa Universiti Teknologi Malaysia sesi
1985/86. Ketika itu beliau menjadi Menteri Pelajaran. Selepas itu Dato' Seri Anwar Ibrahim
menggantikan beliau sebagai Menteri Pelajaran yang kemudiannya Anwar menukarkan nama
Kementerian itu kepada Kementerian Pendidikan.
Saya sempat berdepan dengan dua menteri ketika krisis pelajar berpurdah di UTM dan saya
dapati Pak Lah lebih terbuka dan mudah untuk berbincang di banding dengan Anwar. Mengenali
Pak Lah yang begitu rasional dan terbuka, saya amat terkejut dengan tindakan KDN ini yang
di bawah kementeriannya. Apatah lagi beliau terkenal dengan slogan "mesra
rakyat".
Mungkin dari satu segi Pak Lah di tekan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan dan
survival mereka. Walau bagaimanapun kami haraplah, Pak Lah yang menjadi menteri di
kementerian berkenaan akan mempertimbangkan semula keputusan KDN itu yang bukan saja
menyusahkan banyak pihak tetapi mendatangkan kerugian yang bukan sedikit kepada kami.
Sekurang-kurangnya pertimbangkanlah dari aspek kebumiputraan yang baru mencuba industri
yang masih serba baru buat kaum itu.
Apakah cadangan saudara bagi mengatasi permasalahan Akta Cetak yang di anggap
mengongkong kebebasan media dan bersuara di negara kita?
Bagi saya amat mudah sekali, mansuhkan saja Akta-Akta yang menyekat kebebasan media dan
bersuara seperti Akta Mesin Cetak dan Hasutan.
Sesiapa yang mahu menerbit atau mengeluarkan majalah atau akhbar tidak payah
mendapatkan permit, cukup sekadar mendapat kebenaran dari pihak polis. Sekarang untuk
mendapatkan permit amat payah, apa lagi ada semacam 'diskriminasi' apabila kelulusan di
buat.
Kami telah mengusahakan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang bertujuan
bagi memulihkan kebebasan media. Fungsi Jawatankuasa ini antara lain akan memberikan
respon segera terhadap kes-kes pencabulan terhadap kebebasan media yang begitu menjolok
mata.
Jawatankuasa ini akan mengumpulkan wartawan prihatin dalam negara ini bagi merumuskan
tindakan segera, khususnya menimbulkan kesedaran lebih meluas di kalangan rakyat tentang
betapa pentingnya belenggu dan kongkongan terhadap media di Malaysia di hapuskan. Kita
akan mendesak supaya Akta mesin Cetak dan Penerbitan di mansuhkan segera sebagai langkah
pertama memulihkan kebebasan bersuara dan demokrasi.
[ Main Page ]
.