KDN Tidak Berlaku Zalim
Wawancara Eksklusif bersama Tengku Mahmood Tengku Ismail, Ketua Penolong
Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan
MUTAKHIR ini banyak rungutan daripada penerbit-penerbit
majalah dan akhbar, termasuk para pengarang dan penulis yang merasakan bahawa
pihak KDN tidak bersikap adil kepada mereka terutama yang mirip menyokong
parti-parti pembangkang.
Ada yang menuduh KDN tidak demokratik dalam urusan
dan keputusannya dan seolah-olah menekan pihak-pihak tertentu.
Bagi meleraikan permasalahan ini, Editor Tamadun telah
berkesempatan mewawancara Tengku Mahmood Tengku Ismail, Ketua Penolong
Setiausaha, Unit Kawalan penerbitan, baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan
dan pandangan KDN terhadap rungutan-rungutan tersebut. Ikutilah wawancara
berikut:-
Banyak rungutan dari para penerbit dan orang ramai bahawa
KDN tidak peka dan prihatin terhadap permohonan mereka menyebabkan kesulitan
kepada mereka. Bolehkah Tengku memberi sedikit penjelasan berkaitan perkara
ini?
Tengka Mahmood: Penerbit-penerbit mestilah mengikut
pxosedur yang telah ditetapkan oleh KDN. Setiap permohonan, sama ada yang baru
atau membaharui dikehendaki mengikut prosedur tersebut. Sekiranya permohonan
mereka lengkap, tidak ada sebab kita tidak luluskan permohonan itu dalam
jangka masa yang singkat.
Yang menjadi masalah kepada kita, ada di antara
permohonan yang tidak lengkap, seperti Syarikat Sdn. Bhd., yang tidak sertakan
borang 49 & 24. Ada juga, setelah kita 'check' nombor telefon pun tidak tepat.
Ada yang beri nombor telefon rumah, sedangkan dia sepatutnya ada pejabat untuk
memulakan operasi penerbitannya.
Setiap permohonan yang tidak lengkap kita akan minta
penjelasan selanjutnya dan adakalanya kita pulang kembali permohonan itu untuk
dilengkapi. Apabila ini berlaku, maka sudah tentu kelewatan memproses
permohonan itu tidak dapat dielakkan dan keputusannya juga akan tertangguh.
Dalam tempoh berapa lamakah KDN boleh meluluskan
permohonan sekiranya permohonen itu lengkap?
Tengku Mahmood: Dalam masa tiga bulan. KDN sekarang sudah
dilengkapi dengan komputer, jadi kami jangkakan tempoh masa itu memadai untuk
urusan memprosesan.
Bagi membaharui permit, bilakah permohonan itu mesti
dikemukakan?
Tengku Mahmood: Permohonan membaharui hendaklah di
serahkan 3 bulan sebelum tamat tempoh permit itu. Ada juga yang serahkan satu
minggu sebelum tarikh tamat permit. Sudah tentu ada pula pindaan maklumat.
Sudah tentu kami di sini tidak dapat memproses dalam jangka waktu yang
dijangkakan. Apabila pindaan atau tambahan maklumat di beri, kami terpaksa
pula membuat pindaan dalam komputer. Sudah tentu ini memakan masa yang agak
lama. Lagi pun permohonan yang kami terima setiap hari ialah antara 20-30
permohonan untuk diproses.
Jadi beban kerja yang dipikul oleh unit ini amat berat
setiap hari. Bolehkah Tengku berikan sedikit data berkaitan permohonan yang di
terima oleh KDN?
Tengku Mahmood: Pada tahun 1999 saja, kami terima
sebanyak 386 permohonan baru dan 1,537 permohonan membaharui. Dan setiap tahun
permohonan baru akan bertambah dan sudah tentu beban kerja juga bertambah.
Setakat ini berapa ribu permit penerbitan yang telah
diluluskan oleh KDN?
Tengku Mahmood: Saya tidak ada angka yang tepat, mungkin
sekitar 12,000 permit yang ada di pasaran. Tetapi yang betul-betul aktif lebih
sedikit 2000. Yang tidak aktif, kalau tidak diperbaharui maka dengan
sendirinya permit itu terbatal.
Kalau tidak aktif, masih boleh diperbaharui?
Tengku Mahmood: Kita akan tahu sama ada dia aktif atau
tidak kerana salah satu syaratnya, setiap keluaran, penerbit mesti menghantar
8 naskah majalah atau akhbarnya kepada kami untuk diteliti isi kandungannya.
Kalau mereka tidak hantar naskah ini, bermakna mereka tidak aktif. Permohonan
membaharui boleh dipertimbangkan sekiranya penerbit itu benar-benar menghadapi
masalah yang munasabah. Kita di KDN bertimbang rasa. Kita bukan nak
menyusahkan sesiapa.
Tetapi banyak orang menuduh KDN berlaku zalim dan tidak
bertimbang rasa kerana membatalkan permit-permit mereka. Kita ambil contoh
pembatalan majalah Detik dan Harakah yang dikurangkan penerbitannya?
Tengku Mahmood: KDN tidak berlaku zalim kepada sesiapa.
Malah kita amat bertimbang rasa kepada semua pihak. Kita tidak senarai
hitamkan mana-mana penerbit atau pengarang/penulis. Kita tidak amalkan
'black-listing' . Konsep ini tidak ada dalam kamus kita. Kita berdasarkan
merit. Malah bilangan permohonan yang kita tolak boleh di kira dengan jari.
Begitu juga yang dibatalkan, amat sedikit sekali. Kita juga luluskan permit
kepada parti-parti pembangkang dan NGO untuk menerbitkan majalah atau akhbar
mezeka. PAS ada Harakahnya, DAP ada Roketnya, PRM ada akhbamya sendiri. NGO
seperti Aliran, Suaram, Just, Persatuan Pengguna dan banyak lagi, kita beri
permit penerbitan bagi mereka menerbitkan majalah atau akhbar untuk disebarkan
maklumat kepada ahli-ahli mereka.
Dalam soal Detik, ia agak berbeza sedikit. Detik sudah di
beri amaran beberapa kali. Kita panggil mereka di sini untuk diberi amaran
dan teguran. Tetapi mereka masih tidak berubah. Majalah Detik sepatutnya
berkonsepkan pendidikan, seperti permohonan asalnya, tetapi sudah berubah,
100% kandungannya berunsur politik. Bahannya pula tidak seimbang. Ini sudah
melanggar syarat permit. Lagi pun, permit itu di 'Ali-Babakan' atau dalam kes
ini di 'Ali-Alikan". Permit penerbitan ini tidak boleh di sewa atau di
jual kepada pihak lain. Detik dibatalkan bukan kerana Ahmad Lutfi menjadi
ketua pengarangnya, tetapi kerana ia melanggar syarat permit.
Satu perkara lagi yang patut saya ingatkan, bahawa semua
penerbit atau pemegang permit adalah dipertanggungjawabkan terhadap semua
bahan atau tulisan yang di siarkan dalam media mereka. Sekiranya ada
unsur-unsur yang menyalahi undang-undang dan peraturan atau garis panduan, KDN
akan mengambil tindakan terhadap penerbit, bukan penulis artikel itu. Penerbit
mesti berhati-hati apabila menyiarkan artikel-artikel di dalam media mereka.
Mereka atau pengarangnya mesti peka dan meneliti artikel-artikel yang hendak
di siarkan bagi memastikan tidak melanggar apa-apa Akta atau peraturan yang
telah ditetapkan.
Apakah prosedur yang digunakan oleh KDN sebelum satu-satu
permit itu digantung, ditarik balik atau dibatalkan?
Tengku Mahmood: KDN akan memberi nasihat, menegur, mungkin
secara lisan dulu. Kalau ini tidak memberi kesan, kita akan panggil penerbit
itu dan memberi amaran. Amaran diberi secara bersurat. Sekiranya tidak juga
berubah, kita akan beri surat tunjuk sebab kenapa permit mereka tidak boleh
digantung atau dibatalkan. Kalau alasan yang diberi tidak munasabah dan tidak
boleh diterima, kita akan gantung atau batalkan permit itu mengikut keseriusan
kesalahan yang dilakukan. Tetapi yang menjadi masalah, ada yang akur setelah
ditegur, tetapi kembali kepada perbuatan lama setelah 6 atau 7 bulan.
Ada yang berbuat demikian, mungkin kerana mengharapkan
jualan majalah atau akhhar mereka meningkat. Umpamanya majalah/ akhbar yang
menyiarkan gambar-gambar yang tidak sopan, dedah dada dan separuh bogel,
apabila kita tegur, mereka akur, lepas itu demi melariskan media mereka,
mereka kembali kepada muslihat lama. Oleh kerana itulah kita juga perlukan
kerjasama dari orang ramai untuk memberi maklumat. KDN tidak berupaya memantau
atau menyiasat semua media termasuk CD lucah yang bersembunyi di pasaran.
Tadi Tengku kata parti-parti pembangkang juga diberikan
permit untuk menerbitkan majalah atau akhbar mereka, boleh Tengku beri sedikit
maklumat tentang permohonan baru akhbar Purnama oleh PAS dan Berita Keadilan
oleh parti KeADILan. Sudahkan pihak Tengku meluluskan permohonan itu?
Tengku Mahmood: Belum, masih dalam pertimbangan pihak
Menteri. Kelulusan permit tidak dibuat di sini. Kita tidak ada kuasa. Kita di
sini hanya memproses permohonan dan menjadi penghubung di antara penerbit
dengan Menteri. Mengikut Akta, hanya Menteri yang berkenaan saja mempunyai
kuasa meluluskan permohonan permit penerbitan.
Berbalik kepada pemegang permit yang menggadai atau
menjual permit mereka kepada orang lain, mungkin mereka lakukan ini kerana
tidak cukup modal, tidak ada kepakaran atau pengalaman dalam bidang penerbitan
atau kewartawanan. Adakah menjadi syarat KDM bahawa permohonan permit
penerbitan hendaklah terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman dalam
bidang kewartawanan saja?
Tengku Mahmood: Tidak pula disyaratkan begitu. Sesiapa
sahaja boleh mohon, tidak kiralah dia ada pengalaman atau tidak. Tetapi
sekiranya ada pengalaman dalam bidang-bidang tersebut, ia adalah satu merit
yang boleh membantu KDN membuat keputusan yang lebih baik. Kita juga harapkan
kepakaran yang ada pada pemohon itu akan mengurangkan banyak masalah kepada
kita. KDN tidak pula berhasrat menyekat orang-orang yang tidak berpengalaman
memohon, asalkan mereka ada minat dan 'planning' yang positif untuk
menerbitkan penerbitannya.
Tengku juga ada menyatakan bahawa beban kerja unit ini
agak berat juga, memproses 20-30 permohonan setiap hari. Mungkin beban ini
disebabkan usia permit itu terlalu pendek iaitu setahun dan terpaksa
diperbaharui setiap tahun. Proses inilah yang menjadi beban kerja yang
bertimbun, malah menyulitkan juga pemegang permit. Tidak bolehkah dipanjangkan
hayat atau tempoh permit itu kepada 4 atau 5 tahun?
Tengku Mahmood: Dalam Akta menyebut usia permit itu hanya
satu tahun dan diperbaharui setiap tahun. Kalau mahu diubah atau dipanjangkan
usianya, Akta mesti dipinda terlebih dahulu. Kita tidak boleh bertindak di
luar daripada Akta.
Walau bagaimanapun KDN sedang membuat kajian menyeluruh
terhadap Akta ini yang semenjak tahun 1984 tidak ada apa-apa pindaan. Kita
sedang menokok tambah sebarang 'loop-holes' dan mengemas kinikan Akta itu
termasuk tempoh sahlakunya. Kita jangkakan pada akhir tahun ini akan selesai
kajian ini dan akan di bawa ke Parlimen untuk di bahas dan diluluskan.
Akhir sekali, apakah nasihat Tengku kepada para penerbit,
pengarang atau penulis?
Tengku Mahmood: Yang mustahaknya, tugas penerbit ialah
menyebarkan maklumat. Maklumat pula mestilah tepat dan betul, bukan maklumat
palsu. Maklumat juga bukan yang berbentuk sensitif yang boleh menjejaskan
keharmonian kaum di negara ini.
'Reporting' atau laporan jangan berat sebelah. Jangan
bias kepada mana-mana pihak. Dapatkan pandangan pihak-pihak yang terlibat,
jangan siarkan pandangan sebelah pihak saja. Ikut garis panduan yang kita
tetapkan. Sekiranya tidak faham atau ragu, rujuk kepada kita untuk mendapatkan
penjelasan. Kita di sini tidak menyusahkan penerbit, malah memberikan segala
kemudahan kepada mereka. KDN bukan musuh penerbit, tetapi teman di mana mereka
boleh mengadu. Kita bersikap terbuka, dan sekiranya ada kemusykilan, boleh
datang berjumpa dengan pegawai-pegawai kita.
[ Main Page ]