Logo
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak

.

 

Suhakam Mesti Proaktif Selesaikan Pengharaman Detik, Eksklusif dan Al-Wasilah

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) pada Jumaat lalu berjaya mengadakan satu pertemuan tertutup dengan empat pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), setelah menghantar memorandum tujuh perkara pada minggu sebelumnya.

Pada asasnya, KAMI sangat prihatin dengan pencabulan terhadap kebebasan akhbar, seperti pengharaman tiga penerbitan (Detik, Eksklusif dan Al-Wasilah) dan juga sekatan terhadap akhbar pembangkang, Harakah.

Dalam pertemuan itu, KAMI telah mengemukakan beberapa aduan spesifik, perbincangan umum tentang isu-isu kebebasan akhbar serta cengkaman Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya merujuk Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Sebagai pertemuan awal, KAMI pada dasarnya menghargai sikap Suhakam untuk mengemukakan cadangan kepada Parlimen bagi melakukan reformasi undang-undang (law reform).

KAMI juga menghargai sikap terbuka Suhakam untuk menerima aduan berhubung isu-isu kebebasan akhbar. KAMI menganggap pertemuan pertama itu sebagai "jambatan" ke arah hubungan kerja yang lebih erat dan mesra untuk memantapkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

Bagaimanapun, seperti disuarakan dalam pertemuan itu, KAMI ingin mengulangi di sini bahawa tiga penerbitan yang diharamkan itu mesti diberikan penyelesaian segera. Hak asasi tidak akan terbela jika majalah dan akhbar berkenaan gagal dihidupkan semula.

Badan bebas itu tidak berperanan apa-apa jika tiga penerbitan ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kes ini merupakan cabaran paling besar kepada pengerusinya, Tan Sri Musa Hitam.

KAMI percaya Tan Sri Musa dan Suhakam mempunyai tujuan dan cita-cita memperjuangkan kebebasan akhbar seperti disuarakan dalam pertemuan itu pada Jumaat lalu.

KAMI menuntut Suhakam berperanan campur tangan atau sebagai "orang tengah" antara kumpulan wartawan dan penerbit dengan KDN.

Peranan Suhakam sangat penting dalam hal ini kerana Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, pada Seksyen 13, tidak memberikan keadilan kepada penerbit, penulis, penyunting dan pencetak. Sebaliknya semua kuasa dibolot oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam hal ini dan juga dalam kes-kes pencabulan hak asasi yang lain, Suhakam haruslah memainkan peranan yang lebih proaktif. Badan itu harus mempunyai rasa kepekaan yang sangat tinggi, dan mengambil inisiatif seperti yang dipertanggungjawabkan.

Sikap Suhakam – walaupun baru beroperasi dalam tempoh beberapa bulan – hal kes ini menentukan sejauh mana kredibilitinya di depan rakyat dan di peringkat antarabangsa.

Ahmad Lutfi Othman
Jurucakap KAMI
Kuala Lumpur

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"




PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com