Benarkan wartawan bebas buat liputan majlis rasmi kerajaan

Oleh KAMI

KAMI memandang berat telatah kerajaan yang menghalang wartawan-wartawan Malaysiakini.Com daripada membuat liputan majlis rasmi kerajaan atau menghadiri sidang akhbar menteri-menteri.

Dengan bersembunyi di sebalik ‘kad perakuan akhbar’, Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung minggu lalu dan kini Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin pula mengeluarkan kenyataan - kedua-duanya bertujuan mematikan semangat kewartawanan bebas di negara ini.

Apabila media bebas tidak disuburkan, maka maklumat dimonopoli oleh media arus perdana sahaja. Penguasaan mutlak organisasi media perdana oleh kerajaan atau tokoh politik yang rapat dengan parti kerajaan bercanggah dengan prinsip asas demokrasi dan melanggar prinsip kebebasan bersuara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

KAMI memandang bahawa langkah terbaru kerajaan ini sebagai:

(a) menapis dan menyekat bahan-bahan di internet (Net censorship) melalui “jalan belakang” dan cara yang halus. Apabila wartawan-wartawan bebas, seperti mereka yang bertugas bersama Malaysiakini.com, dinafikan hak mengambil pandangan rasmi kerajaan atau menyoal menteri-menteri, maka maklumat tersebut tidak dapat disalurkan melalui internet. Langkah ini umumnya usaha halus dan licik tetapi bertentangan dengan usaha memajukan kempen-kempen k-ekonomi, cintakan IT (teknologi maklumat) dan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC).

(b) gelombang kedua kerajaan Malaysia untuk melumpuhkan media-media bebas selepas tindakan mengharamkan mingguan Eksklusif dan majalah-majalah Detik dan Al-Wasilah yang dikuatkuasakan tahun lepas. Usaha mengurangkan kekerapan penerbitan Harakah, merampas penerbitan-penerbitan bebas dan mendakwa pengedar juga termasuk dalam tindakan “draconian” kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan ini sangat berbahaya dan perlu ditentang oleh semua wartawan di negara ini, khususnya oleh NUJ (Kesatuan Wartawan Nasional), dan rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran.

KAMI menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), khususnya Tan Sri Musa Hitam, menyiasat kongkongan melampau kerajaan terhadap media bebas, seperti apa yang dikenakan terhadap Malaysiakini.com sekarang. KAMI juga menggesa Suhakam menyegerakan siasatannya terhadap aduan-aduan yang anggota KAMI kemukakan pada tahun lepas berhubung kebebasan media dan pengharaman tiga media bebas tersebut.

Ahmad Lutfi Othman,
Jurucakap,
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), d/a Penerbitan Pemuda,
24 G, Jalan 4/21D, Medan Idaman,
Jalan Gombak, 53100 KUALA LUMPUR
Tel tangan: 019-372-2079


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"