Logo
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak

.

 

Tubuhkan "jawatankuasa bertindak aktivisme media"

Oleh Fathi Aris Omar

Sebagai pengguna maklumat, orang ramai boleh membentuk kumpulan atau pertubuhan yang melobi dasar-dasar media dan kewartawanan di negara ini.

Mereka berhak menentukan mendapat maklumat berkualiti, seimbang, berfakta, bernas dan tidak dipenuhi propaganda politik sampah.

Ertinya, masyarakat kita boleh membentuk kumpulan-kumpulan yang dinamakan "aktivisme media."

Satu bentuk kumpulan pemantau media yang wujud awal tahun ini dikenali "Jawatankuasa Monitor Media" yang diusahakan beberapa tokoh reformasi, misalnya Rustam A Sani dan Zunar. Kegiatan mereka jelas, memboikot beberapa akhbar dan berita stesen televisyen yang dikatakan tidak seimbang dan penuh sampah propaganda kerajaan BN.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya memulakan kempen untuk menggerakkan orang ramai menyertai kumpulan-kumpulan warganegara sebagai "aktivis media." Kemudian, wartawan dan penulis yang prihatin dengan peranan media dalam sebuah negara demokrasi wajar menyertai kumpulan rakyat ini.

Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan. Semua penerbitan bebas berbahasa Melayu - Detik, Wasilah, Eksklusif - sudah dibawa ke kubur politik Kementerian Dalam Negeri.

Akhbar Harakah pula terbatas pengaruhnya kerana hanya mampu diterbitkan dua kali sebulan. Penerbitan ini tidak sesuai untuk dikatakan mewakili masyarakat dengan edarannya terhad, lambat dan untuk tujuan kegunaan parti PAS sahaja.

Orang ramai (khususnya kaum wartawan dan penulis alternatif) tidak patut meniru gelagat PAS yang berdiam diri menikus walau kerajaan berbuat apa sahaja terhadap mereka. Bermula siasatan dan perbicaraan terhadap pengarang Harakah, Zulkifli Sulong, dan diikuti pengehadan terbitan Harakah.

Bermula sekatan berceramah di Melaka, di masjid dan surau, kemudian sekatan berceramah di Lembah Klang sehingga markaz tarbiyyah sendiri dikepung.

Akhir sekali "tokoh yang ajak perang" itu berputih mata melihat wang royalti minyak dikebas Dr Mahathir.

Petunjuk kelembikan itu harus dijadikan iktibar kepada semua, khususnya wartawan yang prihatin apabila media mereka tertindas. Jangan biarkan kerajaan bertindak sesuka hati.

WE MUST RESIST (Kita mesti lawan)

Jika mereka berasa kezalimannya, mereka harus membantahnya terang-terangan. Jika tidak mahu menzahirkan batang tubuh, tulislah sokongan kepada "Wasilah" dan "Eksklusif" dan nyatakan bantahan keras kepada KDN.

Percayalah, bukan sekadar permit hilang, bukan setakat buku dan akhbar dirampas. Selepas ini, mereka akan bertindak lebih melampau lagi...

Tetapi kali ini, Demi Allah!!! Tuhan tidak lagi bersama mereka (yang zalim).

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"




PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com