Logo
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak

.

 

Apa Salah Detik Sehingga Di Haramkan !

Tepat sekali jangkaan parti-parti Alternatif sebelum pilihan raya umum lalu bahawa BN kembali "mengganas" jika terus diberikan mandat besar, sekurang-kurangnya berbekalkan kemenangan majoriti dua pertiga di peringkat Parlimen. Tidak mustahil beberapa projek yang diisytiharkan telah dibatalkan akan diteruskan, mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza, dengan andaian "majoriti rakyat menyokong kami, dan kami berhak melakukan apa saja".

Mangsa pertama ialah beberapa pemimpin Alternatif yang didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Mangsa berikutnya ialah media yang selama ini tidak berasa was-was untuk menegur dan mengkritik penyelewengan dan penyalahgunaan penguasa. Target utama, Harakah, akhbar rasmi PAS. Permitnya tidak digantung tetapi Pengarangnya, Zulkifli Sulong bersama pencetak, diheret ke mahkamah. Edarannya hanya terbatas kepada ahli-ahli sahaja, dan ini sebenarnya tidaklah terlalu menekan, namun syarat penjualan yang dihadkan hanya boleh dijalankan di markaz PAS sudah dianggap keterlaluan.

Namun begitu, ramai tidak menyedari bahawa mangsa tekanan paling dahsyat dalam isu pencabulan kebebasan media ini ialah majalah DETIK. Permitnya yang telahpun diluluskan secara hitam putih pada 9 Disember 1999-melalui surat KDN 1505 (8757) (25), yang ditandatangani Che Haslina Che Mamat, tiba-tiba diberitahu secara lisan, itu pun selepas Ketua Editor DETIK menghubungi KDN-dikatakan ditarik balik oleh pihak menteri. Pengurusan DETIK sudah menjelaskan bayaran permit sebanyak RM500.00.

KDN mengendalikan isu majalah DETIK ini secara berhelah. Mereka menggantung tanpa tali terlebih dahulu sebelum surat tunjuk sebab "mengapa tindakan membatalkan permit penerbitan tidak boleh dibatalkan" dikeluarkan. Ya, bayangkan permit diluluskan pada 9 Disember 1999, "ditarik balik" pada 13 Disember, sedangkan surat tunjuk sebab KDN 1505 (8757) (26) bertarikh 24 Disember 1999 hanya dapat diserahkan kepada pemilik DETIK pada 27 Disember. Surat itu dijawab keesokan harinya, 28 Disember dan dihantar secara tangan pada hari itu juga. (DETIK diluluskan ketika Kabinet baru belum dibentuk dan "diharamkan" selepas MT Umno bermesyuarat! ) Ramai bertanya, apa kesalahan besar DETIK sehingga ia dicadang untuk "diharamkan" atau sekurang-kurangnya sudah digantung tidak bertali selama empat keluaran? Menurut pegawai KDN, Teagku Mahmood Tengku Ismail, tiga kesalahan besar DETIK ialah: (1) Tidak mencetak alamat penerbit. (2) Meletakkan Permit Penerbitan di bawah kawalan orang lain. (3) Melantik Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi 0thman, tanpa memaklumkannya kepada KDN.

Pengurusan DETIK masih menunggu keputusan sebenar yang bakal diputuskan Menteri Dalam Negeri sendiri. Semoga majalah dua-tiga kali sebulan itu masih dibenarkan untuk terus berdetik dan memeriahkan lagi dunia kewartawanan tanahair. Pak Lah tentu mahu sekurang-kurangnya ada satu dua majalah serius yang tidak secara mutlak memihak pemerintah sebagai bukti masih adanya kebebasan media di Malaysia. * AHMAD LUTFI OTHMAN Artikel Ini Pernah Di Siarkan Di Dalam Majalah Debat ,disiarkan semula sebagai memperingati "DETIK" Tajuk Asal artikel ini adalah "Apa salah Detik Sehingga digantung tidak bertali?"

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"




PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com