Logo
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak

.

 

KDN Tidak Berlaku Zalim
Wawancara Eksklusif bersama Tengku Mahmood Tengku Ismail, Ketua Penolong Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan

MUTAKHIR ini banyak rungutan daripada penerbit-penerbit majalah dan akhbar, termasuk para pengarang dan penulis yang merasakan bahawa pihak KDN tidak bersikap adil kepada mereka terutama yang mirip menyokong parti-parti pembangkang. 

Ada yang menuduh KDN tidak demokratik dalam urusan dan keputusannya dan seolah-olah menekan pihak-pihak tertentu.

Bagi meleraikan permasalahan ini, Editor Tamadun telah berkesempatan mewawancara Tengku Mahmood Tengku Ismail, Ketua Penolong Setiausaha, Unit Kawalan penerbitan, baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan dan pandangan KDN terhadap rungutan-rungutan tersebut. Ikutilah wawancara berikut:-

Banyak rungutan dari para penerbit dan orang ramai bahawa KDN tidak peka dan prihatin terhadap permohonan mereka menyebabkan kesulitan kepada mereka. Bolehkah Tengku memberi sedikit penjelasan berkaitan perkara ini?

Tengka Mahmood: Penerbit-penerbit mestilah mengikut pxosedur yang telah ditetapkan oleh KDN. Setiap permohonan, sama ada yang baru atau membaharui dikehendaki mengikut prosedur tersebut. Sekiranya permohonan mereka lengkap, tidak ada sebab kita tidak luluskan permohonan itu dalam jangka masa yang singkat.

Yang menjadi masalah kepada kita, ada di antara permohonan yang tidak lengkap, seperti Syarikat Sdn. Bhd., yang tidak sertakan borang 49 & 24. Ada juga, setelah kita 'check' nombor telefon pun tidak tepat. Ada yang beri nombor telefon rumah, sedangkan dia sepatutnya ada pejabat untuk memulakan operasi penerbitannya.

Setiap permohonan yang tidak lengkap kita akan minta penjelasan selanjutnya dan adakalanya kita pulang kembali permohonan itu untuk dilengkapi. Apabila ini berlaku, maka sudah tentu kelewatan memproses permohonan itu tidak dapat dielakkan dan keputusannya juga akan tertangguh.

Dalam tempoh berapa lamakah KDN boleh meluluskan permohonan sekiranya permohonen itu lengkap?

Tengku Mahmood: Dalam masa tiga bulan. KDN sekarang sudah dilengkapi dengan komputer, jadi kami jangkakan tempoh masa itu memadai untuk urusan memprosesan.

Bagi membaharui permit, bilakah permohonan itu mesti dikemukakan?

Tengku Mahmood: Permohonan membaharui hendaklah di serahkan 3 bulan sebelum tamat tempoh permit itu. Ada juga yang serahkan satu minggu sebelum tarikh tamat permit. Sudah tentu ada pula pindaan maklumat. Sudah tentu kami di sini tidak dapat memproses dalam jangka waktu yang dijangkakan. Apabila pindaan atau tambahan maklumat di beri, kami terpaksa pula membuat pindaan dalam komputer. Sudah tentu ini memakan masa yang agak lama. Lagi pun permohonan yang kami terima setiap hari ialah antara 20-30 permohonan untuk diproses.

Jadi beban kerja yang dipikul oleh unit ini amat berat setiap hari. Bolehkah Tengku berikan sedikit data berkaitan permohonan yang di terima oleh KDN?

Tengku Mahmood: Pada tahun 1999 saja, kami terima sebanyak 386 permohonan baru dan 1,537 permohonan membaharui. Dan setiap tahun permohonan baru akan bertambah dan sudah tentu beban kerja juga bertambah.

Setakat ini berapa ribu permit penerbitan yang telah diluluskan oleh KDN?

Tengku Mahmood: Saya tidak ada angka yang tepat, mungkin sekitar 12,000 permit yang ada di pasaran. Tetapi yang betul-betul aktif lebih sedikit 2000. Yang tidak aktif, kalau tidak diperbaharui maka dengan sendirinya permit itu terbatal.

Kalau tidak aktif, masih boleh diperbaharui?

Tengku Mahmood: Kita akan tahu sama ada dia aktif atau tidak kerana salah satu syaratnya, setiap keluaran, penerbit mesti menghantar 8 naskah majalah atau akhbarnya kepada kami untuk diteliti isi kandungannya. Kalau mereka tidak hantar naskah ini, bermakna mereka tidak aktif. Permohonan membaharui boleh dipertimbangkan sekiranya penerbit itu benar-benar menghadapi masalah yang munasabah. Kita di KDN bertimbang rasa. Kita bukan nak menyusahkan sesiapa.

Tetapi banyak orang menuduh KDN berlaku zalim dan tidak bertimbang rasa kerana membatalkan permit-permit mereka. Kita ambil contoh pembatalan majalah Detik dan Harakah yang dikurangkan penerbitannya?

Tengku Mahmood: KDN tidak berlaku zalim kepada sesiapa. Malah kita amat bertimbang rasa kepada semua pihak. Kita tidak senarai hitamkan mana-mana penerbit atau pengarang/penulis. Kita tidak amalkan 'black-listing' . Konsep ini tidak ada dalam kamus kita. Kita berdasarkan merit. Malah bilangan permohonan yang kita tolak boleh di kira dengan jari. Begitu juga yang dibatalkan, amat sedikit sekali. Kita juga luluskan permit kepada parti-parti pembangkang dan NGO untuk menerbitkan majalah atau akhbar mezeka. PAS ada Harakahnya, DAP ada Roketnya, PRM ada akhbamya sendiri. NGO seperti Aliran, Suaram, Just, Persatuan Pengguna dan banyak lagi, kita beri permit penerbitan bagi mereka menerbitkan majalah atau akhbar untuk disebarkan maklumat kepada ahli-ahli mereka.

Dalam soal Detik, ia agak berbeza sedikit. Detik sudah di beri amaran beberapa kali. Kita panggil mereka di sini untuk diberi amaran dan teguran. Tetapi mereka masih tidak berubah. Majalah Detik sepatutnya berkonsepkan pendidikan, seperti permohonan asalnya, tetapi sudah berubah, 100% kandungannya berunsur politik. Bahannya pula tidak seimbang. Ini sudah melanggar syarat permit. Lagi pun, permit itu di 'Ali-Babakan' atau dalam kes ini di 'Ali-Alikan". Permit penerbitan ini tidak boleh di sewa atau di jual kepada pihak lain. Detik dibatalkan bukan kerana Ahmad Lutfi menjadi ketua pengarangnya, tetapi kerana ia melanggar syarat permit.

Satu perkara lagi yang patut saya ingatkan, bahawa semua penerbit atau pemegang permit adalah dipertanggungjawabkan terhadap semua bahan atau tulisan yang di siarkan dalam media mereka. Sekiranya ada unsur-unsur yang menyalahi undang-undang dan peraturan atau garis panduan, KDN akan mengambil tindakan terhadap penerbit, bukan penulis artikel itu. Penerbit mesti berhati-hati apabila menyiarkan artikel-artikel di dalam media mereka. Mereka atau pengarangnya mesti peka dan meneliti artikel-artikel yang hendak di siarkan bagi memastikan tidak melanggar apa-apa Akta atau peraturan yang telah ditetapkan.

Apakah prosedur yang digunakan oleh KDN sebelum satu-satu permit itu digantung, ditarik balik atau dibatalkan?

Tengku Mahmood: KDN akan memberi nasihat, menegur, mungkin secara lisan dulu. Kalau ini tidak memberi kesan, kita akan panggil penerbit itu dan memberi amaran. Amaran diberi secara bersurat. Sekiranya tidak juga berubah, kita akan beri surat tunjuk sebab kenapa permit mereka tidak boleh digantung atau dibatalkan. Kalau alasan yang diberi tidak munasabah dan tidak boleh diterima, kita akan gantung atau batalkan permit itu mengikut keseriusan kesalahan yang dilakukan. Tetapi yang menjadi masalah, ada yang akur setelah ditegur, tetapi kembali kepada perbuatan lama setelah 6 atau 7 bulan.

Ada yang berbuat demikian, mungkin kerana mengharapkan jualan majalah atau akhhar mereka meningkat. Umpamanya majalah/ akhbar yang menyiarkan gambar-gambar yang tidak sopan, dedah dada dan separuh bogel, apabila kita tegur, mereka akur, lepas itu demi melariskan media mereka, mereka kembali kepada muslihat lama. Oleh kerana itulah kita juga perlukan kerjasama dari orang ramai untuk memberi maklumat. KDN tidak berupaya memantau atau menyiasat semua media termasuk CD lucah yang bersembunyi di pasaran.

Tadi Tengku kata parti-parti pembangkang juga diberikan permit untuk menerbitkan majalah atau akhbar mereka, boleh Tengku beri sedikit maklumat tentang permohonan baru akhbar Purnama oleh PAS dan Berita Keadilan oleh parti KeADILan. Sudahkan pihak Tengku meluluskan permohonan itu?

Tengku Mahmood: Belum, masih dalam pertimbangan pihak Menteri. Kelulusan permit tidak dibuat di sini. Kita tidak ada kuasa. Kita di sini hanya memproses permohonan dan menjadi penghubung di antara penerbit dengan Menteri. Mengikut Akta, hanya Menteri yang berkenaan saja mempunyai kuasa meluluskan permohonan permit penerbitan.

Berbalik kepada pemegang permit yang menggadai atau menjual permit mereka kepada orang lain, mungkin mereka lakukan ini kerana tidak cukup modal, tidak ada kepakaran atau pengalaman dalam bidang penerbitan atau kewartawanan. Adakah menjadi syarat KDM bahawa permohonan permit penerbitan hendaklah terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan saja?

Tengku Mahmood: Tidak pula disyaratkan begitu. Sesiapa sahaja boleh mohon, tidak kiralah dia ada pengalaman atau tidak. Tetapi sekiranya ada pengalaman dalam bidang-bidang tersebut, ia adalah satu merit yang boleh membantu KDN membuat keputusan yang lebih baik. Kita juga harapkan kepakaran yang ada pada pemohon itu akan mengurangkan banyak masalah kepada kita. KDN tidak pula berhasrat menyekat orang-orang yang tidak berpengalaman memohon, asalkan mereka ada minat dan 'planning' yang positif untuk menerbitkan penerbitannya.

Tengku juga ada menyatakan bahawa beban kerja unit ini agak berat juga, memproses 20-30 permohonan setiap hari. Mungkin beban ini disebabkan usia permit itu terlalu pendek iaitu setahun dan terpaksa diperbaharui setiap tahun. Proses inilah yang menjadi beban kerja yang bertimbun, malah menyulitkan juga pemegang permit. Tidak bolehkah dipanjangkan hayat atau tempoh permit itu kepada 4 atau 5 tahun?

Tengku Mahmood: Dalam Akta menyebut usia permit itu hanya satu tahun dan diperbaharui setiap tahun. Kalau mahu diubah atau dipanjangkan usianya, Akta mesti dipinda terlebih dahulu. Kita tidak boleh bertindak di luar daripada Akta.

Walau bagaimanapun KDN sedang membuat kajian menyeluruh terhadap Akta ini yang semenjak tahun 1984 tidak ada apa-apa pindaan. Kita sedang menokok tambah sebarang 'loop-holes' dan mengemas kinikan Akta itu termasuk tempoh sahlakunya. Kita jangkakan pada akhir tahun ini akan selesai kajian ini dan akan di bawa ke Parlimen untuk di bahas dan diluluskan.

Akhir sekali, apakah nasihat Tengku kepada para penerbit, pengarang atau penulis?

Tengku Mahmood: Yang mustahaknya, tugas penerbit ialah menyebarkan maklumat. Maklumat pula mestilah tepat dan betul, bukan maklumat palsu. Maklumat juga bukan yang berbentuk sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

'Reporting' atau laporan jangan berat sebelah. Jangan bias kepada mana-mana pihak. Dapatkan pandangan pihak-pihak yang terlibat, jangan siarkan pandangan sebelah pihak saja. Ikut garis panduan yang kita tetapkan. Sekiranya tidak faham atau ragu, rujuk kepada kita untuk mendapatkan penjelasan. Kita di sini tidak menyusahkan penerbit, malah memberikan segala kemudahan kepada mereka. KDN bukan musuh penerbit, tetapi teman di mana mereka boleh mengadu. Kita bersikap terbuka, dan sekiranya ada kemusykilan, boleh datang berjumpa dengan pegawai-pegawai kita.

[ Main Page ]

(Salinan elektronik artikel pada laman ini untuk edaran newsletter, mailing list dan sebagainya hendaklah disertakan dengan makluman tentang tajuk majalah ini,  bulan diterbitkan dan alamat laman web rasminya)

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"




PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com