Logo
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak

.

 

Pegawai KDN Tidak Bercakap Benar! - Lutfi

(Artikel di bawah ini disiarkan dalam majalah Tamadun keluaran Jun 2000)

Apabila saya mula terbabit aktif dengan dunia penerbitan, khususnya sebagai penerbit, saya seboleh mungkin tidak mahu bertembung dengan pihak paling berkuasa dalam dunia ini, yakni Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sebabnya, di tangan mereka, permit penerbitan boleh diberikan, dan ia boleh ditarik balik secara mengejut tanpa perlu memberikan sebarang sebab.

Kuasa yang besar pada Menteri Dalam Negeri membuatkan setiap penerbit sedaya mungkin cuba mengelak dari menimbulkan pertentangan dengannya. Kalau boleh apa saja arahan dan peraturan akan dituruti tanpa dolak-dalik lagi. Semuanya akan menjadi pak turut dan pak angguk. Jika cuba melawan atau mempersoalkan, bersedialah menanggung risiko buruk.

Ketika saya hanya menulis dan menerbitkan buku-buku politik atau makalah tidak berkala, saya mungkin tidak perlu memeningkan kepala memikirkan "hantu KDN" ini. Setakat ini buku-buku politik tidak memerlukan permit penerbitan (PP). Penulis perlu lebih sentisif terhadap kandungannya supaya tidak mudah disaman malu pihak tertentu, bukannya KDN.

Justeru, menulis buku agak lebih bebas dan terbuka. Namun, tidak banyak pencetak yang bersedia mencetak buku kita jika persembahannya nampak memihak kepada pembangkang ataupun mengkritik hebat pemerintah. Agak kerap juga saya terpaksa beralih dari satu syarikat percetakan kepada syarikat yang lain. Ada kalanya, belum sempat buku saya habis dicetak, pencetak tidak sanggup meneruskan kerjanya kerana bimbang KDN akan menarik balik atau membatalkan lesen percetakan.

Dengan itu, selepas saya membaca temubual Tamadun Mei 2000 dengan Ketua Penolong Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan, KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail, saya cuba memendam rasa khususnya selepas menatap bait-bait ayat mengenai Detik yang sudahpun diharamkan itu.

Pengharaman Detik bagai kisah duka seorang ibu yang kematian anak tunggal yang baru berumur setahun. Segala kasih sayang tertumpah buatnya. Begitulah keprihatinan kami terhadap Detik. Menghadapi saat-saat kematiannya yang tragis membuatkan kami terkedu, menahan ratapan dan menyembunyikan tangisan. Namun api kemarahan sukar dibendung.

Bagi Tengku Mahmood, KDN tidak pernah menyenarai-hitamkan mana-mana penerbit atau pengarang. Saya secara peribadi menyambut baik jaminan itu dan mahu ia dibuktikan. Pengalaman saya sepuluh tahun dulu mungkin sudah dilupai Tengku Mahmood. Dua kali permohonan saya mendapatkan permit majalah bulanan isu-isu semasa ditolak mentah-mentah. Saya langsung tidak ditemuduga seperti kebiasaannya. Memang benar pihak KDN mengambil masa singkat untuk menolak permohonan saya itu.

Kes terbaru membabitkan permohonan oleh syarikat yang menerbitkan makalah politik, suntingan Suria Janib. Berkali-kali mereka memberikan nama baru disebabkan nama asal sudahpun dipohon oleh penerbit lain. Namun akhirnya jawapan tetap sama, ditolak tanpa sebarang alasan. Tentunya pihak penerbit berkeinginan untuk mengetahui sebab-musabab permohonan mereka ditolak sebegitu rupa.

Saya rasa Tengku Mahmood tidak mempunyai maklumat lengkap terhadap penyelenggaraan pihak KDN terhadap majalah Detik. Sepanjang saya menjadi Ketua Editornya (yang kemudiannya dimaklumkan bahawa perlantikan saya itu adalah satu kesalahan besar pada kacamata KDN), sekalipun kami tidak pernah dipanggil oleh KDN, sama ada untuk diberikan amaran ataupun mengadakan perbincangan. Saya ulangi, tidak pernah sekalipun kami dijemput ke pejabat KDN!

Sedangkan semasa saya menjadi Editor Tamadun dulu, sekurang-kurangnya dua kali KDN memanggil saya ke pejabatnya, dan kami diberikan amaran lisan, yang kemudiannya disusuli amaran bertulis. KDN membutirkan dengan jelas isu-isu yang tidak boleh kami sentuh ketika itu. Tetapi sepanjang setahun saya dan pemilik Detik menjalankan majalah ini, pihak KDN langsung tidak pernah menjemput kami bagi membincangkan sebarang masalah berbangkit ekoran penerbitan Detik.

Ada pun surat amaran yang kami terima berkaitan kandungan majalah Detik yang dikatakan terlalu banyak menyiarkan politik pembangkang, kami segera menjawab dan memberikan penjelasan. Kami memohon diberi sedikit masa untuk mengada ubah-suai. Berbetulan pula, ketika itu menjelang pilihan raya umum ke -10, tentunya ia tidak dapat dirombak dalam kadar segera khususnya bagi menjaga kehendak pasaran. Sesungguhnya kami hanya sempat menerbitkan Detik edisi pilihan raya selepas mendapat amaran

berkenaan. Tapi yang menjadi kemusykilan besar kami ialah sekiranya kandungan Detik menjadi masalah besar buat KDN, mengapa pula permitnya telahpun diperbaharui pada 9 Disember 1999. Atas alasan apa permit tersebut dikeluarkan selepas ia tamat pada 30 November 1999.

Tidak lain tidak bukan ia menjadi bukti nyata pembabitan elit politik Umno yang mendesak agar permit yang sepatutnya tamat pada 30 November 2000 itu ditarik balik. Tengku Mahmood jangan lupa bahawa beliau sendiri memaklumkan secara lisan kepada saya bahawa arahan itu datangnya daripada Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi.

Mengenai isu Ali-Baba, ia sebenarnya telahpun dijelaskan secara bertulis oleh pemilik Detik kepada KDN. Malangnya penjelasan itu langsung tidak diendahkan KDN. Awal-awal lagi mereka sudahpun menjatuhkan hukum, kemudian baru dibicarakan.

Cuma saya ingin bertanya Tengku Mahmood, siapa sebenarnya pemilik permit akhbar tabloid Al-Haq, yang menjadi lidah rasmi Umno Terengganu, yang dirasmikan sendiri Menteri Dalam Negeri. Saya sendiri sedia maklum siapa pemilik sebenarnya. Yang pasti, ia bukan milik Umno Terengganu. Umno Terengganu telah melakukan kesalahan serius, yakni menukar nama penerbit sebenar akhbar berkenaan kepada namanya. Bagaimana pula status sebuah majalah bulanan terbitan Pusat Islam yang diurusterbitkan pihak lain. Saya mempunyai banyak lagi maklumat tentang hal ini.

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"




PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com