Logo
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak

.

 

Kumpulan Aktivis Media Independen jumpa Harun Hashim, Mehrun Siraj, Hamdan Adnan, Zainah Anwar, Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) akan mengadakan pertemuan khusus dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat ini , 6 Oktober, jam 3.00 petang di Lake Club, dekat sini, bagi membincangkan isu-isu tentang kebebasan akhbar di Malaysia.

Menurut jurucakap KAMI, Ahmad Lutfi Othman, pertemuan itu insya-Allah akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyuarakan segala hambatan dan tekanan serta kongkongan yang dihadapi oleh aktivis media selama ini.

KAMI terdiri 14 aktivis media, antaranya Zulkifli Sulong (Pengarang Harakah), Fathi Aris Omar (Malaysiakini.Com), Dinsman, Zunar, Lutfi, Tarmizi Mat Jam, Suria Janib, Muhammad Nor Abd Samad, Abu Bakar Rashid, Ruhana Ahmad, Muttaqin Amaluddin, Annissofian Amran, Syed Putra Syed Ahmad, Rosmida Abd Rahman.

Suhakam dalam majlis itu akan diwakili oleh Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Harun Hashim, Mehrun Siraj, Hamdan Adnan dan Zainah Anwar.

"Kami amat menghargai kesediaan Suhakam itu, sekurang-kurangnya mereka akan dapat penjelasan secara langsung dan mendengar luahan hati pengamal media yang selama ini menjadi mangsa kerakusan pemerintah," tambah Lutfi.

Ditanya apa tuntutan utama dalam pertemuan itu, Lutfi berkata, yang penting isu kebebasan akhbar dapat ditonjolkan sebagai persoalan asas dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi. "Tanpa kebebasan akhbar, tidak ada demokrasi."

Jelasnya lagi, permit penerbitan yang kini menjadi lambang kongkongan kerajaan ke atas media mesti dihapuskan. Amalan double-standard Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam meluluskan permohonan baru, menggantung dan mengharamkan permit sedia ada cukup ketara sekali.

"Kami syak ada unsur-unsur korupsi di Unit Kawalan Penerbitan KDN terutama dalam urusan meluluskan permit. Dan perkara ini juga akan didedahkan nanti," kata Lutfi.

Selain itu, katanya, amalan menakut-nakutkan pihak pencetak harus dihentikan segera, malah pencetak tidak sepatutnya dikongkong di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. "Apabila pencetak ditakut-takutkan, ini bermakna sisa-sisa kebebasan berkarya hampir tidak mempunyai baki lagi. Ia adalah jalan pintas untuk mengongkong media. Tiada pencetak yang sebodoh itu untuk mengambil risiko berat dengan mencetak bahan-bahan yang dikira tidak diingini pemerintah," ujarnya lagi.

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"




PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com